Friday, 20 January 2012

Resepi

Okay akak-akak, mak-mak, makcik-makcik dan puan-puan ...


Seperti yang dijanjikan. Hari ni saya akan kongsi satu resepi. Sila sediakan pen, pensel atau apa-apa ajelah janji boleh salin resepi. hehe. Sebelum tu resepi ni bukan lah saya yang cipta. Saya amik resepi ni dari DAPUR KAKZU . Tanpa membuang masa mari kita mulakan !

Bahan-bahan:

3 biji telur

275 gm tepung gandum


220 gm gula halus


150 gm susu segar



3 sudu teh baking powder

1 sudu kecil ovellete



paste(ikut perasa yang disukai)

pewarna(warna yang disukai)


inti(kaya,bluberry,strawberry atau ikut cita rasa masing-masing)



Cara-cara:


1. Mula-mula pukul telur dan gula. 


2. Selepas itu masukkan ovellete dan pukul sehingga betul-betul kembang.( Jika adunan tu nampak berkilat dan berkrim itu maknanya adunan dah betul-betul kembang)


3. Bila adunan dah kembang, masukkan tepung dan susu secara berselang seli sehingga habis.


4.Gunakan acuan kuih lompang dan letakkan papercup ke dalamnya.(Saiz papercup lebih kurang saiz acuan kuih lompang.


5.Adunan yang telah siap tadi boleh dimasukkan ke dalam papercup tersebut.


6.Sewaktu memasukkan adunan ke dalam papercup,panaskan periuk kukus selama 10 minit terlebih dahulu.


7.Selepas itu,masukkan acuan-acuan tadi ke dalam periuk kukus dan kukus selama 15 minit.


8. Selepas itu, boleh la dihidangkan. (apom polkadot ni sesuai untuk dimakan bila-bila masa saja)




Selamat mencuba ya semua! ^_^ (Mulakan dengan bismillah sebelum memulakan apa jua masakan)










*kak zu terima kasih sebab tak kedekut ilmu dan share dengan pengguna-pengguna fb



Saturday, 14 January 2012

Polkadot

Hari ni nak kongsi satu gambar 


terima kasih semua =)

nak tau resepi kuih ni? sila tunggu next entry yeee :D















Thursday, 12 January 2012

Tenang

Korang pernah dengar nama Hilal Asyraf ? Dia seorang penulis. Bagi saya dia seorang yang sangat hebat. Allah telah kurniakan sesuatu yang sangat istimewa kepadanya. Dia mampu hasilkan ayat-ayat yang mampu menyentuh jiwa manusia yang sedang tenat. Saya mula mengenal hilal masa kawan baik hadiahkan sebuah buku yang ditulis oleh hilal. Tajuk Langit Ilahi (Langit Ilahi merupakan company hilal.Anda boleh layari untuk dapatkan buku-buku hilal dan macam-macam lagi kata-kata mutiara yang ditulis oleh beliau)

thanks emah :D







Tak lama lepas tu kak nad perkenalkan sebuah buku lagi. Tajuk dia sangat menarik! iaitu Terasing. Kalau sekali tengok kita pasti tertanya-tanya. Terasing dari apa? Sebenarnya saya jarang baca buku. Tapi bila dah baca buku hilal yang berunsur dakwah , hati ni mula terasa tenang dan inginkannya lagi. Soo tanpa buang masa cepat-cepat cari buku ni kat mph. Masa sampai kat sana cari punya cari tak jumpa. (tak puas hati ni). So tanya la akak kat kaunter tu, buku terasing hilal asyraf ada lagi tak? Akak pun check la kat komputer dia tu kan. Sorry lah adik. Buku terasing dah habis (kecewa betul). Tapi tak berputus asa. Selepas beberapa minggu, kembali semula ke mph. (Alhamdulillah, ada.tinggal 3 buah je lagi.) Tanpa buang masa amik terus then bayar.(Mood : Excited sebab first time beli buku hilal! hehe) So korang nak tahu apa isi kandungannya kena dapatkan buku ni cepat-cepat ye! (kalau saya rajin saya buat sinopsis tentang buku ni nanti,kalau rajin lah) :D








Next! Pertemuan antara kak nad dengan saya! Pertemuan kami di sebuah masjid(terharu betul.cinta yang datang dari Allah yang membaluti ukhwah antara kami telah membawa kami berjumpa untuk pertama kalinya di sebuah masjid) Masa tu hujan punya la lebat kami redah jugak la. Sebab dah plan nak beli makanan untuk buka puasa nanti. Redah... Redah... dan Redah sambil potpet. hehe.So dah beli makanan, apa lagi nak balik la. Lagipun kesian kak nad. Dah la bawak moto. Kebasahan. Sebelum balik, kak nad ada bagi hadiah.(hati punya seronok tak terkata masa tu sebab dapat hadiah hehe). Sampai-sampai rumah terus buka! waaah! Dapat buku hilal asyraf lagi! (hati pun berkata-kata,terima kasih kak nad sebab bagi sinergi.memang teringin nak ada buku tu.tengok-tengok kak nad dah hadiahkan ^_^) . So ini bukunya...


jangan lupa dapatkan buku ini jugak! sangat best!

One more! hilal ada jual baju! saya dah ada baju tu. Suka sangat baju tu...(mai-mai tengok)

baju untuk laki pun ada!



Nak dapatkan barang-barang dari hilal? Sila tekan sebelah ini Langit Ilahi
                                                       

                                    


                                            





                                               

Tuesday, 10 January 2012

Hari-hari Seakan...


Ada waktu, kita akan merasa bahawa diri kita sangat tersepit. Susah teramat sangat. Seakan hilang segala harapan. Seakan lenyap segala ruang penyelesaian.

                Jauh di dalam lubuk hati kita, kita akan rasa kecewa teramat sangat. Rasa ditinggalkan. Rasa diasingkan.  Keseorangan dalam masalah yang menimpa tanpa ada sesiapa yang mampu menghulurkan bantuan. Kadangkala, ia adalah masalah peribadi yang kita malu untuk kongsikan.

                Akhirnya mula timbul dalam jiwa kita satu perkataan:

                PUTUS ASA. Kita rasa segalanya sudah tidak berguna. Segala usaha sudah tidak bermakna. Maka kita pun bergerak mengikut arus kerosakan untuk ‘self destruct’. Jadilah apa hendak jadi. Kita sudah tidak peduli. Kerana tiada siapa yang hiraukan kita.

                Tetapi kita silap.

                Allah SWT itu tidak pernah meninggalkan hamba-hamba-Nya.

                Allah SWT hiraukan kita.

Hingga sampai ke benteng kesabaran

Tujuan ujian adalah untuk menguji. Sebab itu namanya adalah ujian. Jika ujian itu datang dalam keadaan mudah dilangkau, tidak dinamakan ianya ujian. Ujian semestinya menggegarkan, menggoyahkan, meragut ketenteraman dan menghilangkan kesenangan.

                Dalam keadaan ini Allah ingin melihat sejauh manakah keyakinan kita kepada-Nya.

                Yang Allah mahu daripada ujian adalah pembuktian kita terhadap keimanan kita.

                Saya sering mengulang ayat 2 dari Surah Al-Ankabut:
                “Apakah manusia itu mengira, bahawa mereka akan dibiarkan berkata: Kami telah beriman, sedangkan mereka itu belum diuji?”

                Sebab itu, adakah kita mengira, kita akan masuk syurga Allah dengan lenggang kangkung tanpa diuji dengan ujian yang hebat? Kadangkala seakan kita tertolak ke pinggir gaung. Hanya menunggu masa sahaja untuk jatuh walaupun telah berusaha bertahan.

                Kita bertanya-tanya, kenapa kita diuji sedemikian rupa?
                Ketahuilah, itu hakikatnya adalah tapisan kita ke syurga Allah SWT.

                “Apakah kamu mengira, kamu akan dimasukkan ke dalam syurga, selagi belum tiba kepada kamu ujian yang telah didatangkan kepada orang-orang sebelum kamu? Mereka diuji dengan kepapaan dan serangan penyakit serta digoncangkan. Sehingga berkatalah rasul dan orang yang beriman dengannya: Bilakah pertolongan Allah(hendak sampai)?...” Surah Al-Baqarah ayat 214.

                Iya. Diuji sehingga ke pinggiran gaung. Sehingga tergoncang keimanan mereka. Allah nak bantu atau tidak ini? Tetapi mereka itu memilih untuk terus percaya. Apakah jawapan Allah pada akhir ayat itu?

                “...(ketahuilah) sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.” Surah Al-Baqarah ayat 214.

Kenapa kamu  tidak memandang kepada Musa?

Nabi Musa AS menunjukkan kepada kita contoh tertinggi dalam pergantungan kepada Allah SWT. Dia yang diarahkan oleh Allah SWT untuk membawa seluruh Bani Israel melarikan diri dari Firaun di tengah malam, telah dihalakan oleh Allah SWT ke lautan.

                Pada waktu Subuh, mereka tersedar bahawa mereka telah tersesat bila berada di hadapan laut. Di belakang mereka ketika itu Firaun dan bala tenteranya. Mereka tersepit. Melihat keadaan ini, Bani Israel hilang kepercayaan kepada Allah dan Nabi Musa. Kalangan mereka ada yang hendak menyerah diri, ada yang memaki Musa.

                “Setelah kedua-dua kumpulan itu melihat sesama mereka, berkatalah orang-orang Musa: Sesungguhnya kita akan ditawan!” Surah Asy-Syu’araa’ ayat 61.

                Ya. Berada di hadapan laut tanpa boleh merentasinya. Di belakang pula Firaun yang siap untuk menebas kepala mereka.

                Tetapi apakah reaksi Musa ketika situasi ini berlaku?

                “Sesekali tidak, sesungguhnya aku bersama Rabbku yang memberikan petunjuk” Surah Asy-Syu’araa’ ayat 62.

                Sesekali tidak! Sesungguhnya aku bersama Rabbku yang memberikan petunjuk!

                Inilah dia Musa AS. Telah tersepit di antara lautan dan Firaun yang mengganas. Tidak pula dia berkata: “Ya Allah, kenapalah Kau buat aku macam ini? Kau suruh aku bawa kaum aku keluar, tapi Kau halakan aku ke laut. Kenapa?”

                Tidak. Dia tidak berkata begitu. Dia memilih untuk terus meyakini. Apakah balasan kepercayaannya terhadap Allah itu?

                “Lalu Kami(Allah) wahyukan kepada Musa: Pukullah tongkatmu itu. Setelah dipukul, maka terbelahlah laut...” Surah Asy-Syu’araa’ ayat 63.

                Lihat. Lihat. Lihat wahai orang-orang yang hendak berputus asa.
                Apakah di hadapanmu laut dan di belakangmu Firaun yang ingin membunuh kita?

                Sentiasa masih ada harapan. Allah bersama-sama kita memberikan petunjuk. Tinggal kita sahaja tidak meyakini-Nya.

Penutup: Bergantung dengan-Nya tiada kecewa.

Ujian adalah lumrah. Baik diuji dengan bencana, atau diuji dengan dosa yang tidak mampu ditinggalkan. Atau sekalipun diuji dengan kesenangan yang melemaskan.

                Jangan berputus asa. Jangan berputus asa untuk melakukan perubahan. Jangan putus asa untuk terus melakukan kebaikan. Jangan putus asa untuk menjadi manusia yang baik. Jangan berputus asa untuk meninggalkan keburukan. Usaha dan usaha lagi.

                Yakin kepada Allah SWT. Berputus asa samalah dengan kita tidak lagi meyakini-Nya. Sebab itu, Allah amat membenci mereka yang berputus asa. Rahmat Allah sudah sangat luas. Justeru di manakah ruang kita hendak berputus asa kepada-Nya?

                Kita langsung tiada alasan untuk berputus asa hakikatnya.
                Walau terdorong ke pinggir gaung, kita tetap terus yakin kepada-Nya.
                Yang terdorong hingga ke pinggir gaung itu sendiri adalah satu ujian.

                Maka percayalah.

                “Sesekali tidak, sesungguhnya aku bersama Rabbku yang memberikan petunjuk” Surah Asy-Syu’araa’ ayat 62.


Monday, 9 January 2012

JAKET CINTA

Tadi petang bukak fb ( macam biasala kan). Lepas tu baru check email. 1 new mail! Tengok-tengok kak nad send email. Tajuk JAKET CINTA! menarik bukan. dan-dan kalut nak pi baca (teruja weh) Nak tau apa yang kak nad send... sila baca ...

“Nah, ambillah. Ni hadiah untuk nta (kamu).”

“Untuk ana (saya). Betul ke ni? Macam tak percaya je? Betul ke nta bagi ana ni?”


Macam tak percaya pula saya. Kami baru pulang dari beli-belah hari itu. Seorang sahabat saya yang baru sahaja membeli sebuah jaket dengan harga yang mahal ketika membeli-belah bersama sebelum ini, tiba-tiba menghadiahkan jaket itu kepada saya.

Memang ketika itu, saya sedang mencari satu jaket yang sesuai untuk saya. Tak sangka pula dengan begitu mudah dia menghadiahkan saya jaket mahal itu.

Saya jadi terharu. Menyesal pula saya bila terfikir yang saya pernah mengungkit-ngungkit dalam nada melawak dengan apa yang pernah saya berikan pada dia suatu ketika dahulu.

Tetapi, hari itu saya jadi terharu. Dia hadiahkan jaket itu tanpa berkata atau mengungkit apa-apa.


HADIAH YANG MAHAL DALAM PERSAHABATAN

Bukanlah jaket itu hadiah termahal walaupun harganya memang mahal pun. Tetapi harga termahal dalam persahabatan ketika berukhuwah di jalan Allah adalah ketika kita memberi apa yang paling sayangi kepada sahabat kita.

Memang benar. Walaupun kadang, hadiah itu tidak mahal, tetapi apabila kita beri hadiah itu dengan kasih kepada sahabat kita kerana Allah, menyebabkan pemberian itu memberi kesan kepada sahabat kita.

Saya masih ingat, ketika di sekolah dulu, saya pernah menerima makalah-makalah kecil, surat-surat dan kad-kad nasihat daripada senior saya terutamanya Brohamzah @ ‘Ali Irfan Jamaluddin dan Hilal Asyraf.

Walaupun yang saya terima itu kadang-kadangnya cuma nasihat dan kata semangat dalam kertas warna biasa yang dipotong kecil, tetapi saya cukup menghargai pemberian itu. Sebab itu, saya suka simpan pemberian orang walaupun sekecil kertas-kertas nasihat dan kata semangat itu.

Kenapa?

Kerana pemberian itu bukan semata-mata pemberian biasa. Tetapi pemberian itu datang bersama dengan cinta kerana Allah.

“Saling memberilah hadiah di kalangan kamu, nescaya kamu akan saling mencintai.”

[HR Thabrani]

Kalau ada bukti yang tidak hancur ketika di dunia ini, nanti di akhirat, saya mahu jadikan semua ini sebagai bukti kasih sayang kami di jalan-Nya. Kurang-kurang, kalau tidak ada amal-amal lain yang dapat menyelamatkan saya, masih ada bukti kasih sayang kami di jalan Dia yang mampu menyelamatkan saya di depan-Nya.


TIDAK CUKUP SEKADAR MENERIMA, MEMBERI UNTUK MERASAI

Dalam persahabatan, tidak cukup hanya sekadar melafaz kata manis semata-mata. Juga tidak cukup dengan hanya hidup bersama, makan bersama, tidur bersama dan bermusafir bersama. Tidak cukup dengan hanya sekadar itu.

Ukhuwah fillah ini nilainya pada kesanggupan kita untuk memberi dahulu kepada saudara kita yang kita cintai. Bukan hanya tunggu sekadar menerima, tetapi belajar untuk memberi dan menghargai.

Ingatkah lagi satu peristiwa yang cukup masyhur ketika peristiwa hijrah?

Ketika mana golongan Ansar berebut-rebut untuk mengambil golongan Muhajirin sebagai saudara mereka. 

Contoh yang paling masyhur iaitu Abdul Rahman bin Auf dan Saad ibn Rabi’.
Apa yang mendorong Saad untuk sanggup mengorbankan segala apa yang ada pada dirinya untuk Abd Rahman yang tidak pernah dia jumpa dan kenal pun sebelum itu? Sehinggakan salah satu isterinya pun ditawarkan kepada Abd Rahman bin Auf, bahkan bukan beliau yang memilih, tetapi beliau minta Abd Rahman sendiri yang memilih.

Mereka, generasi awal Islam telah merealisasikan sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud :

“Tidak beriman seseorang itu sebelum dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai saudaranya sendiri.”
[HR Bukhari]

Hebatnya kasih sayang di atas iman.

Satu lagi peristiwa adalah ketika seorang sahabat Nabi menerima seorang tetamu. Beliau dan keluarganya tidak mempunyai bekalan makanan yang cukup. Kalau ada pun, hanya cukup untuk seorang sahaja. Kebetulannya kedatangan tetamu itu, makanan yang ada cuma itu.

Apa yang dilakukan oleh sahabat itu dan isterinya?

Ditidurkan anak-anak mereka, digelapkan rumah seolah-olah rumah mereka telah kehabisan minyak pelita. Hidangan disediakan seperti biasa. Di dalam pinggan tetamu itu diletakkan makanan yang mereka ada itu, sedangkan di atas pinggan sahabat Nabi itu sebenarnya tidak ada apa-apa. Untuk meraikan tetamunya, beliau duduk dan berpura-pura makan bersama.


CINTA DI JALAN PERJUANGAN ADALAH BAYANGAN-BAYANGAN KEINDAHAN

“Nak tahu apa yang paling indah ketika berjalan menuju Allah ini?”

“Apa? ”

“Cinta di jalan ini.”

Kita semua sedang berjalan menuju Allah. Dalam perjalanan ini, pastinya kita akan berdepan dengan pelbagai dugaan dan cabaran. Kadang, dugaan menghentikan kita untuk sementara. Kadang ujian membuatkan kita menitikkan air-air mata keperitan.

Tetapi, di tengah kesusahan dan kesukaran yang begitu, selain Allah yang bersama kita, maka sahabat adalah pengisi ruang-ruang kosong yang ada di dalam jiwa kita.

Di tengah keperitan hidup, masih ada sahabat ingin yang menjadi teman meskipun dari kejauhan. 
Di tengah kedukacitaan yang tiada taranya, masih ada yang sanggup meminjamkan telinganya untuk mendengar segala kesedihan kita.

Memang Allah itu sentiasa ada untuk kita mengadu. Tetapi, fitrah manusia diciptakan perlunya teman untuk berjalan dengan kekuatan.

Maka, sahabat yang soleh adalah antara sumber-sumber kekuatan.

Sahabat yang ada bukan sekadar untuk membuat kita rasa senang, tetapi yang ada untuk membetulkan kita juga sekiranya kita tergelincir dan terjatuh di perjalanan ini.


PENUTUP : DENGAN RASA SAYANG, LAFAZKANLAH KECINTAAN !

Saya sayangkan semua sahabat-sahabat yang bersama saya sekarang ini. Saya pasti bukan saya sahaja yang begitu, tetapi anda juga lebih hebat rasa cinta anda terhadap sahabat anda bukan?

Maka, dengan penuh rasa sayang untuk membawa sahabat kita ke syurga, marilah sama-sama kita realisasikan rasa cinta itu.

Memang sahabat itu bukanlah orang yang bersama kita sepanjang masa. Tetapi, sahabat di jalan Allah itu bila kita pandangnya, kita terasa mendapat kekuatan. Bila kita mendengar dia berbicara, membuatkan semangat yang kendur bangkit semula.

Jangan biarkan diri anda. Jangan biarkan juga sahabat-sahabat anda. Hargailah mereka yang bersama kita.
Seandainya sahabat masih ada di tepi anda hari ini, sempatkanlah diri anda untuk mengucapkan padanya:

“Aku cinta kamu kerana Allah.”

Kerana dia adalah nikmat yang tiada harganya, hadiah dari Allah untuk kita.

Salah satu golongan yang dijanjikan naungan Allah di akhirat kelak adalah mereka yang bertemu, berpisah dan berkasih sayang kerana Allah.

Inilah jalan cintaku,
Jua jalan cintamu,
Yang dengannya aku ingin bersamamu ke syurgawi,
Yang dengannya aku ingin membawa mu terbang tinggi,
Membawa perkhabaran syurga harapan,
Cinta di atas jalan perjuangan.
(Kak Nad...thanks untuk email ni. ^_^ )